Jenayah ‘Love Scam’ bermaharajalela di Kedah, ramai wanita kesepian jadi mangsa

Jenayah ‘Love Scam’ bermaharajalela di Kedah, ramai wanita kesepian jadi mangsa


Wanita didapati lebih ramai menjadi sasaran ‘Love Scam’ apabila mendahului lelaki dalam senarai mangsa selama tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2018 sehingga 2020 di Kedah.

Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Asisten Komisioner R. Devan berkata, pada tahun 2018 sebanyak 89 kes dicatatkan melibatkan wanita dengan kerugian sebanyak RM 1,696,239 berbanding lelaki iaitu sebanyak 16 kes dengan kerugian bernilai RM277,770.

Katanya, pada tahun 2019 sebanyak 66 kes dicatatkan bagi wanita dan tujuh kes bagi lelaki dengan jumlah kerugian masing-masing sebanyak RM1,450,749 dan RM214,002.

“Pada tahun 2020, sebanyak 56 kes direkodkan bagi wanita dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,028,170 dan 11 kes bagi lelaki dengan jumlah kerugian bernilai RM579,195.9,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Program Klinik Perundangan “Jerat Percintaan” di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan statistik berkenaan juga didapati jumlah kerugian yang dicatatkan bagi keseluruhan kes terbabit melebihi jutaan ringgit.

“Kalau kita lihat setiap tahun kes yang dilaporkan dalam jenayah ini tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan jenayah lain seperti kecurian dan samun.

“Tetapi kerugian yang ditanggung oleh mangsa sangat tinggi kerana scammer ini dia tidak minta duit kita RM200, RM300 paling kurang mangsa akan rugi RM5,000,” katanya.

Devan berkata, detik perkenalan antara mangsa dan scammer akan bermula di media sosial seperti Facebook dan Instagram serta akan berubah bergantung kepada perkembangan teknologi.

“Mereka akan menggunakan gambar profil yang “handsome” yang diambil secara rambang dengan menggunakan latar belakang pekerjaan hebat seperti doktor dan juruterbang.

“Kemudian helah yang mereka gunakan untuk mendekati mangsa pula bergantung kepada profil mangsa. Sekiranya mangsa gemar memuat naik status keagamaan maka mereka juga akan menggunakan pendekatan terbabit untuk mengumpan mangsa,” katanya.

Devan menambah, scammer juga bijak bermain ayat untuk menjerat mangsa termasuk individu yang mempunyai kerjaya hebat serta berpendidikan tinggi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri Kedah, CR Zaiton Zainol Abidin berkata, pasangan yang mempunyai masalah dalam rumah tangga perlu segera mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan salah seorang daripada mereka terjebak dalam jerat percintaan seperti itu.

“Sekiranya berlaku ia bukan sahaja memberi masalah kepada pasangan terbabit malah keseluruhan ahli keluarga mereka termasuk anak-anak,” katanya.

Program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kedah itu turut menampilkan barisan penceramah lain yang terdiri daripada Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah, Dr. Aisa Azira Abdul Aziz dan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya, Mohamad Zam Zami Marzuki. – SH



Source link

COMMENTS