Peja buat ‘U-Turn’, tidak termimpi pula untuk kembali jadi MB Perak

Peja buat ‘U-Turn’, tidak termimpi pula untuk kembali jadi MB Perak


Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak termimpi untuk kembali menerajui negeri itu selepas meletakkan jawatan pada 5 Disember tahun lalu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu menjelaskan perkataan ‘I’ll be back’ yang diucapkannya di Sabah pada Selasa adalah gurauan dan telah disalah tafsir.

Ahmad Faizal menegaskan, seperti di dalam kenyataan bersamanya dengan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria minggu lalu, merek akan mendokong kerajaan negeri sedia ada disamping memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita beri sokongan kepada Menteri Besar yang ada sekarang ini (Datuk Saarani Mohamad) untuk terus memberi khidmat kepada rakyat.

“Bukannya saya nak ambil kerusi Menteri Besar tu balik, beliau sedang berusaha merencana perkara-perkara yang baik untuk rakyat, teruskan kita bagi sokongan.

“Tak ada mimpi, saya fikir kerajaan yang ada sekarang ni patut dibagi sokongan untuk memastikan kepentingan rakyat. Cukuplah berpolitik,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan sempena lawatanya ke Batalion Ketiga, Pasukan Gerakan Am di sini, hari ini.

Dalam ucapannya ketika majlis
sambutan ulang tahun PPBM Sabah di Kota Kinabalu malam tadi, Ahmad Faizal dikatakan menyebut perkataan ‘I’ll be back’ sambil merujuk kepada salah satu ungkapan dalam filem ‘Terminator’.

Jelasnya, ungkapan itu bermaksud, selepas tidak menjadi Menteri Besar, bukan bermakna beliau tidak akan terlibat langsung dalam politik, sebaliknya akan kembali dan terus berkhidmat sebagai ahli politik.

“Sebenarnya perkara ini bermula daripada laporan tida tepat oleh media, kita mesti bertanggungjawab dengan apa yang kita tulis.

“Itu bukanlah intipati penting, bukan cerita besar, saya berucap di Sabah panjang tetapi yang begurau itu keluar, itu tak kena, tak bagus untuk rakyat, saya mohon maaf kata begitu,” katanya. – SP



Source link

COMMENTS