Salahuddin gesa struktur semula sistem untuk atasi kartel monopoli tender kerajaan

Salahuddin gesa struktur semula sistem untuk atasi kartel monopoli tender kerajaan


Pendedahan kegiatan sindiket yang disyaki memonopoli tender kerajaan dipercayai beroperasi kira-kira tujuh tahun lalu membuktikan terdapat kes salah laku yang serius dan perlu ditangani segera.

Bimbang dengan keadaan semasa, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata tidak dapat dibayangkan apa yang boleh berlaku jika sindiket tersebut mempunyai jaringan di luar negara yang ingin mengekploitasi institusi kerajaan.

Justeru kata Salahuddin perlu ada langkah segera diambil bagi menangani kemungkinan tersebut.

“Kerajaan perlu mengkaji untuk menstrukturkan semula sistem sedia ada bagi memastikan pihak yang terlibat sama ada ditawarkan tender atau menawarkannya adalah pihak yang sah mengikut peraturan dan undang-undang.

“Kelemahan yang ada sekarang menyebabkan geng kartel terbabit dapat membuat kepungan harga dan menggunakan alias (nama lain) bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 April lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket yang mengguna dan mengawal lebih 100 syarikat sebagai sebahagian daripada cara mereka memonopoli tender kerajaan, apabila tujuh suspek berjaya ditangkap.

Mereka dipercayai mendalangi penubuhan kira-kira 150 syarikat yang seolah-olah bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan tender kerajaan, namun hakikatnya semua mempunyai kepentingan bersama.

Sumber memberitahu proses membida tender akan dijalankan secara terancang dan mendapat bantuan daripada orang dalam kerajaan sendiri untuk memastikan kontrak tersebut akhirnya diperolehi syarikat yang ditentukan.

Melibatkan pegawai pangkat tinggi

Untuk melengkapkan langkah itu agar lebih meyakinkan, kata sumber, sindiket terbabit mengupah individu tertentu untuk berkhidmat sebagai pengarah di syarikat terbabit.

Kegiatan tersebut katanya dipercayai melibatkan dana bernilai sehingga RM3.8 bilion.

Menyentuh mengenai integriti institusi kerajaan yang tercalar, Salahuddin berkata pegawai-pegawai yang menjadi ejen kepada sindiket terbabit tidak sepatutnya dilantik memegang jawatan yang berkenaan.

Hal itu kerana kata ahli parlimen Pulai itu ia membahayakan kedudukan negara apabila maklumat sulit dibocorkan kepada pihak luar.

“Akibatnya, pegawai-pegawai lain yang amanah dalam menjalankan tugas akan turut terpalit dalam hal seperti ini.

“Rakyat akan mula memandang rendah kepada penjawat awam, walaupun mereka menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti,” katanya.

Salahuddin yang juga Adun Simpang Jeram berkata kegiatan kartel ‘mengepung’ tender kerajaan itu juga boleh berlaku apabila wujud campur tangan segelintir pegawai atasan yang tidak beretika yang memberikan ‘wahyu’ untuk memastikan orang tertentu mendapatkan kontrak berkenaan.

“Ini tidak mustahil kerana kebanyakan tender-tender kerajaan yang bernilai tinggi di urus tadbir pegawai berpangkat tinggi,” katanya. – MK



Source link

COMMENTS